Introduction

Firman Allah bermaksud,
Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya. Dia mendapat pahala kebaikan yang diusahakannya dan dia juga menanggung dosa kejahatan yang diusahakannya. (Mereka berdoa dengan berkata): Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau mengirakan kami salah jika kami lupa atau kami tersalah. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau bebankan kepada kami bebanan yang berat sebagaimana yang telah Engkau bebankan kepada orang-orang yang terdahulu daripada kami. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang kami tidak terdaya memikulnya dan maafkanlah kesalahan kami, serta ampunkanlah dosa kami dan berilah rahmat kepada kami. Engkaulah Penolong kami; oleh itu, tolonglah kami untuk mencapai kemenangan terhadap kaum-kaum yang kafir. (Surah Al-Baqarah ayat 286)

Friday 3 December 2010

Suatu peringatan..


Damai.. pagi yang damai..
Sinaran sang suria terus menyinar.. menjadi penyeri hati setiap mata yang memandang...
Namun.. sinaran itu tidak cukup untuk meninggikan suhu yang mencecah -9 darjah celcius pagi ini. Tetap sejuk.

Syukur dan terus bersyukur di atas segala nikmat kurniaan Allah.. Matahari yang bersinar.. suasana yang damai... dan yang paling utama, Allah berikan kita satu lagi hari untuk kita hidup. Kehidupan yang perlu dilengkapi dengan beribadat kepadaNya. Meminta ampun dariNya. Kehidupan yanng terus memberi kita nikmat untuk bersama dengan ibu, suami, anak-anak, sanak saudara dan rakan-rakan tersayang.
Kehidupan yang mengizinkan kita untuk menuntut ilmu, menghantar anak-anak ke sekolah, berkongsi cerita dengan anak-anak dan suami, memasak dan pelbagai lagi urusan-urusan duniawi. Alhamdulillah...atas segala nikmat yang telah diberikan..

Hampir tiga tahun berada diperantauan, masa berlalu dengan amat pantas. Kesibukan dengan urusan belajar, anak-anak dan kerja menjadikan diri ini leka dan tidak menyedari tahun 2008, 2009 telah pun lama berlalu, dan kini 2010 juga telah hampir sampai kepenghujungnya...
Hampir tiga tahun diperantauan bermakna hampir tiga tahun kami sekeluarga tidak pulang ke Malaysia. Hampir tiga tahun kami tidak berjumpa sanak saudara... Yang 'baby' dulu pasti sudah petah bercakap dan berjalan. Yang bujang dahulu, ramai yang telah berkahwin. Yang baru berkahwin dulu, pasti telah menimang cahaya mata.
Terlalu banyak peristiwa yang berlaku di Malaysia yang kami tidak dapat turut serta. Hanya ucapan tahniah yang dapat diutuskan melalui mesej-mesej di facebook.

Pelbagai peristiwa suka dan duka berlaku dalam tiga tahun ini. Satu demi satu khabar disampaikan oleh ibu, ibu mertua, bapa mertua, kakak dan abang-abang yang berada di Malaysia. Begitu juga dengan kami di sini. Khabar gembira yang kami terima pasti akan disusuli dengan ucapan Alhamdulillah dan ucapan tahniah. Sebaliknya jika khabar duka yang disampaikan, Innalillah hiwainna ilaihiraa ji'un diucapkan dan hati kami terus disentap dengan perasaan sayu dan sedih. Rasa ingin terus terbang pulang ke tanahair.

Tahun 2008, tahun pertama kami berada di sini. Pastinya ingatan terhadap sanak saudara masih lagi subur. Sebelum kami berangkat ke sini, sempat saya dan suami bertemu dengan insan-insan yang tersayang yang agak uzur seperti atok-atok dan nenek-nenek. Di dalam hati tertanya-tanya adakah kami akan berpeluang berjumpa lagi denga mereka. Hati ini memang merasa hiba apabila merenung wajah mereka dan apabila bersalaman memohon ampun dan maaf. Ajal maut semua urusan Allah. Boleh jadi kami yang pergi dahulu, dan boleh jadi sebaliknya. Hanya cekal di dalam hati berbisik, InsyaAllah kami akan berjumpa kembali. Setelah lima bulan kami berada diperantauan, kami telah mendapat berita dari ibu (mertua) tentang kematian atok (ayah kepada ibu mertua), Allahyarham Haji Othman. Hati kami merasa sayu... dan kami juga redha di atas pemergiannya.. Inilah berita pertama yang menyedihkan hati kami semenjak kami menjejakkan kaki ke sini. Moga rohnya ditempatkan didalam golongan orang-orang yang soleh. Al-Fatihah.

Seterusnya, pada tahun 2009, dalam bulan Sya'ban, kami telah diberitahu oleh kakak, salah seorang bapa saudara (adik kepada ibu) telah dimasukkan ke hospital kerana denggi. Pada masa itu, ibu berada di UK menemani kami sekeluarga selama 6 bulan. Keesokan paginya (subuh di sini) saya telah menelefon isteri bapa saudara untuk menanyakan khabar bapa saudara tersebut. Kira-kira 12 tgh hari waktu di Malaysia. Hari itu merupakan hari pertama puasa (1 Ramadan). Namun, kami telah diberitakan bahawa bapa saudara kami itu telah tiada. Ianya berlalu dengan agak pantas dan ini menambahkan kesayuan di hati kami terutama ibu. Bapa saudara tersebut amat manja dengan ibu. Ibu pernah sekali bercakap menerusi telefon dengannya sebelum beliau sakit. Beliau sempat memberitahu ibu agar cepat-cepat balik ke Malaysia. Agaknya ada perasaan rindu dihatinya terhadap ibu. Ibu sedih, kami juga turut sedih dan simpati. Sama-sama kita sedekahkan Al-Fatihah kepada roh Allahyarham Haji Mahbob bin Haji Ikhwan.

2 November 2010, kakak yang sedang berada di Mekah, telah menghubungi dan memaklumkan salah seorang bapa saudara kami telah meninggal dunia. Adik bongsu kepada arwah abah ini merupakan bapa saudara yang rapat dengan keluarga kami. Sebelum saya berangkat ke UK, beliau telah datang ke rumah untuk melawat kami sekeluarga. Masih teringat kenangan itu. Bagi kami adik beradik, setelah pemergian arwah abah, dengan bapa saudaralah tempat kami bermanja. Apabila melihat wajah bapa saudara dan ibu saudara dan perwatakan mereka yang hampir serupa dengan arwah abah, sedikit sebanyak terubat kerinduan. Namun, Allah lebih menyayangi mereka.

Alfatihah buat Allahyarham Haji Ahmad @ Salleh bin Haji Abdul Manan (Ayah tersayang), tarikh meninggal : 28 Julai 2000.
dan Allahyarham Rahmat bin Haji Abdul Manan

Selang seminggu selepas itu, suami telah mendapat sms dari abah (ayah mertua). Sms itu berbunyi, "Assalammualaikum, Abah nak beritahu, semalam, Pak Ngah meninggal dunia akibat sakit jantung". Innalillahhi wainna ilai raaji'uun...Seorang lagi bapa saudara kami pergi menghadap Ilahi... Hati seperti menangis, terasa mahu segera pulang ke Malaysia menziarahi mereka-mereka yang telah 'pergi'. Al-fatihah buat Allahyarham Mohammad bin Dollah.

Update 30 Desember 2010:
Pada 24 Desember 2010, Jumaat, suatu berita sedih sekali lagi kami terima dari Malaysia. Bapa saudara, abang sulung arwah ayah pula telah kembali kerahmatullah... Tidak sampai dua bulan dari tarikh kematian adik bongsunya. Al-Fatihah buat Allahyarham Haji Abdul Hamim bin Haji Abdul Manan. Moga roh beliau ditempatkan di dalam golongan orang-orang yang beriman.... Ameenn

Ya Allah ampunkanlah dosa mereka dan tempat mereka dikalangan golongan orang-orang yang soleh. Ameen...

Berikut antara video youtube berkaitan dengan detik-detik kematian.. Moga kitakan mati dalam Husnul Khatimah...

1) Semasa sedang memberi ceramah..



2) Sedang sujud



Al-Hafiz Al-Hakami dalam sebuah syairnya, mengatakan :

Ingatlah kematian dan peristiwa-peristiwa terjadi selepas itu;
tidak seorang pun yang dapat melepaskan diri daripadanya.
Kematian merupakan penentuan segalanya;
segala sesuatu menjadi jelas akibatnya.
Kubur boleh menjadi sebuah taman syurga;
dan boleh pula menjadi lubang neraka.
Jika ia baik, maka setelahnya itu
adalah kenikmatan yang tiada bandingannya.
Jika ia jahat, maka setelahnya itu;
adalah kesengsaraan jauh lebih dahsyat.
Demi Allah, sekiranya kau tahu apa yang berlaku selepas itu;
tentulah kau tidak akan tertawa malah banyak menangis.


Saksikan video Sakaratulmaut.. yang pastinya kita pernah dengar dan tonton sebelum ini.. Moga ianya menjadi peringatan kepada kita semua tentang bakal tibanya DETIK itu...

2 comments:

  1. semoga kita mati dalam husnul khatimah... aminnn!

    ReplyDelete
  2. Ya Kak Min.. Semua yang berlaku merupakan peringatan buat kita.. Jika tidak.. kitakan sentiasa sibuk dengan urusan dunia.. sedangkan kematian akan dtg bila2 sahaja...

    Moga kitakan mati dalam keadaan baik.. dalam keadaan husnul khatimah.. Ameenn...

    ReplyDelete